Nazrul Izaad Baseri,
Nazrul Izaad Baseri
Nazrul Izaad Baseri
Kakak arwah, Nora Afizah, 20, menyuap bubur kepada ayahnya yang lemah dan tidak bertenaga kerana masih terkejut dengan kejadian itu.
KUALA BERA – Seorang bapa pengsan sejurus melihat anaknya kaku dan ditutupi sehelai kain putih apabila tiba di bilik guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mengkarak, kelmarin.
Beliau, Baseri Abd Kadir, 58, dan isterinya, Hasmah Daik, 56, terkejut apabila menerima panggilan daripada pihak sekolah mengatakan anaknya itu pengsan namun tidak mensyaki sebarang kemungkinan yang berlaku.
Menurut Hasmah, dia dan suami bergegas ke sekolah kerana bimbang dengan keadaan anaknya, Nazrul Izaad Baseri, 17, kerana keadaan ini tidak pernah berlaku sebelum ini.
“Tetapi apabila kami tiba di sana, kami hanya melihat seluruh tubuh anak kami sudah ditutupi sehelai kain putih dan beberapa orang guru memaklumkan bahawa anak kami sudah meninggal dunia.
“Memang kami terkejut dengan berita ini kerana anak saya tidak sakit apa-apa, sementara suami pula pengsan apabila melihat keadaan ini,” katanya.
Difahamkan, Nazrul Izaad rebah secara tiba-tiba di anak tangga salah sebuah bangunan sekolah di hadapan rakan-rakannya kira-kira jam 10.50 pagi sebelum disahkan meninggal dunia 10 minit selepas itu.
Hasmah berkata, anaknya itu sempat menduduki kertas percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada sebelah pagi kejadian dan ke kantin bersama kawan-kawannya.
“Saya diberitahu kawan-kawannya, dia duduk sekejap di anak tangga dan termenung jauh. Apabila ditanya, tiada jawapan sebaliknya rebah secara tiba-tiba,” katanya.
Suasana rumah suram
Hasmah berkata, sejak kelmarin hingga sekarang, suasana di rumah masih suram lebih-lebih suaminya masih sugul dengan kejadian itu.
Katanya, suaminya tidak makan atau minum melainkan dipaksa dan asyik teringatkan arwah.
“Suami saya asyik memeluk erat baju sekolah yang dipakai arwah malah terjaga pada jam 3 pagi semalam dan duduk di atas motosikal milik arwah.
“Katanya, sekejap lagi arwah balik dan dia mahu menunggu arwah. Memang selalunya, kalau arwah balik lewat malam, dia yang menunggu arwah,” katanya.
Difahamkan, arwah yang mesra dengan panggilan Ijad adalah anak lelaki tunggal dan bongsu dari tujuh beradik.
Kehilangan arwah sangat dirasai semua ahli keluarga lebih-lebih lagi arwah dikatakan sangat rapat dengan anak buahnya.
Menurut kakak arwah, Norzizan Baseri, 29, arwah adalah seorang yang aktif, peramah dan sangat menghormati orang tua.
“Boleh dikatakan setiap aktiviti yang diadakan di kampung ini, arwah tidak pernah ketinggalan menyertainya.
“Memang itu cara dia berkhidmat dengan masyarakat tetapi tidak sangka, dia meninggalkan kami dalam keadaan ini,” katanya.
Katanya, semasa majlis pengebumian dilakukan selepas Maghrib kelmarin, ramai rakan sekampung dan sekolah turut menziarahi buat kali terakhir.
Ambil masa untuk pulih
Sementara itu, Baseri berkata, pemergian anaknya secara mengejut itu adalah sangat sukar diterima tetapi reda dengan dugaan ini.
Menurutnya, sebelum ini, arwah ada memberitahu kepadanya bahawa dia tidak mahu mengikuti Kursus PLKN apabila selesai SPM kelak.
Katanya, tidak sangka apa yang dikatakan itu menjadi kenyataan malah arwah tidak sempat untuk menduduki SPM.
“Dia tidak sakit apa-apa. Jadi, bila dia pergi, memang saya sukar menerima kenyataan pada awalnya. Agak terkilan juga apabila kami tidak berada di hadapannya semasa dia menghembuskan nafas terakhir.
“Saya masih lagi terbayang-bayang arwah masih ada. Tetapi saya tahu, saya kena reda dengan ketentuan ALLAH,” katanya kepada Sinar Harian.
Pada hari kejadian juga, Baseri dan Hasmah turut menerima berita gembira apabila anak kedua mereka selamat melahirkan bayi lelaki di Hospital Temerloh.
Menurut Norazian, pemergian arwah ini seolah-olah seperti diganti dengan kehadiran ahli keluarga baru apabila kakak arwah selamat melahirkan bayi lelaki seiras arwah pada hari yang sama.
Semalam, pihak sekolah yang diwakili Guru PJK Ko-Kurikulum, Zuhari Mohamad dan Guru Pengakap, M Juhari Abdullah turut menziarahi keluarga arwah selain menyampaikan sumbangan derma kilat daripada guru dan pelajar.